Friday, 29 November 2013

22 HB NOV 2013


Alhamdulillah tidak sangka pada hari ini, saya telah menerima panggilan  yang amat berharga. Sungguh tidak saya duga akan apa  yang saya peroleh. Saya percaya ini semua  dari Allah yang maha esa. syukur tidak terhingga. Saya akui, kelemahan diri ini, malah saya menyedari bahawa diri ini terlalu banyak kelemahan berbanding kelebihan. Namun, siapa kita untuk menentukan rezeki  hidup kita di dunia. Syukur ya Allah, kerana atas redha Nya jua saya berjaya. Tiada apa-apa yang datang dari saya melainkan dengan izin Allah. Saya harap tiada sebarang perasaan jahat yang terbuku dalam hati saya kerana saya juga membenci perasaan sedemikian rupa. Terima kasih Allah. Terima kasih juga kepada kedua-dua ibu bapa kerana doa mereka. Walaupun hanya memperoleh naib johan namun saya amat bersyukur kerana ini semua datang dari yang esa. Daripada kemenangan ini juga saya peroleh kekuatan bahawa saya mampu untuk ke hadapan dan juga saya mampu untuk menjadi mereka yang berbakat dalam bidang penulisan. Alhamdulillah. Segala-galanya Alhamdulillah.

Friday, 8 November 2013

Hinakah Aku

Hari-hari terus berlalu. Sama ada hari ini lebih baik atau hari ini lebih malang dari semalam...aku pun tidak tahu. Namun yang pasti semangat untuk berubah ke arah yang lebih baik pastinya ada. Mengapa perlu aku mengharapkan manusia. Apa yang pasti, patutkah aku merasakan pandangan manusia itu juga perlu terhadap diriku? Argh!!! Kecelaruan akal dan bukan identiti. Aku amat mengenali diriku sendiri. Ye, apa yang pasti pendirian ku sememangnya tidak tepat sekali. Aku penat untuk berfikir. Malah aku tidak tahu samaada aku berfikir secara waras atau tidak apa yang pasti aku tidak tahu.
Aku tidak tahu mengapa dan kenapa perlu ada insan yang masih mengharapkan pandanganku. Sedangkan diri ini akui bahawa diri ini sering saja tidak tahu kebenaran pandangan itu. Lantas aku isytiharkan bahawa pandangan diriku adalah suatu pandangan yang hina. Arg!!! Geram bercampur kecewa. Mengapa begini. Mana aku yang dulu. Aku mahu jadi seorang yang pasif. Wajarkah?? Wajarkah?? Wajarkah. Aku tidak pasti. Penulisan yang aneh ini bukan penulisan yang sahaja aku nukil untuk menghidupkan kembali media ini, namun ia semua dari hati yang sememangnya sedang berkecamuk menanggung derita yang tidak tahu bila noktahnya. Sekian.


Sunday, 22 September 2013

Istiqamah Yang Payah.


Alhamdulillah, setelah lama meninggalkan zaman pena ini, akhirnya diizinkan jua untuk mencoret sesuatu di dalam blog yang dah berhabuk ini. Allah maha mengetahui akan apa yang dikehendaki hambaNya. Saya dalam fasa membina diri sendiri dengan istiqamah dalam setiap perkara terutamanya amalan harian. Dalam perjuangan ini, melakukan ibadah tambahan (selain yang wajib) secara berterusan adalah perlu kerana disitulah terletaknya kekuatan. Semalam sahabat saya ada mengingatkan saya tentang sejarah dimana sultan al-fateh hampir menemui kekalahan di laut kerana kebergantungannya kepada meriam dan teknologi yang dibina. Setelah beralih kebergantungannya kepada Allah, ternyata janji Allah itu benar.

 

[7. Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.]

surah Muhammad:7

 

Begitu juga yang berlaku ketika peperangan badar. Jika difikir logik akal terlalu mustahil untuk 313 orang tentera mengalahkan 1000 orang musuh. Tetapi kebergantungan pada Allah itulah kunci kejayaan. Sengaja saya mahu memperingatkan diri saya dan anda sejarah ini. Kerana disebalik kemenangan mereka adalah menghidupkan malam mereka dengan mengabdikan diri kepada Allah. Tapi kita. Merenung sebentar. Saya tidak mahu cakap anda, tapi saya beri contoh diri saya sendiri. Bukan bertujuan untuk membuka aib sendiri, tetapi apa yang saya harapkan adalah yang kurang baik itu jadikan sempadan. Sebagai seorang manusia biasa saya juga mahukan keseronokan apatah lagi ketika usia muda ini. Kadang kala hilangnya kekhusyuaan dalam ibadah. Astaghfirullah, terlalu banyak dosa jika mahu dihitung. Namun apa yang saya boleh beritahu anda adalah cuba dan cuba. Berusaha dan berusaha. Saya juga tak kuat tapi kekuatan itu didorong oleh sahabat-sahabat yang soleh, usrah yang mantap. Alhamdulillah. Cuba anda cuba. Jangan lupa untuk menyandarkan semua perkara kepada Allah. Tapi berhenti menyalahkan takdir kerana sesuatu yang berlaku ada sesuatu pelajaran yang kita boleh ambil. Saya tidak layak untuk menegur anda si pembaca blog ini. Namun bingkisan ini hanya untuk sedikit manfaat sahaja. Saya bukan ulama malah alim juga bukan. Tapi saya muslim yang sedar akan tanggungjawab. Moga saya istiqamah. Doakan. Post ini agak umum. Jika anda baca perlahan-perlahan, anda akan dapat apa yang ingin saya sampaikan. Terima kasih.

 

Saturday, 29 June 2013

Redha Pencetus Syukur


Alhamdulillah Allahu Akbar. segala yang berlaku di dunia ini semuanya atas izinnya jua. syukur Alhamdulilah. sahabat, dalam kehidupan seharian kita, perlu sentiasa kita melafazkan kata syukur. semua yang berlaku dan apa yang kita terima adalah kerana Allah mengizinkan untuk kita mendapatkannya. Alhamdulillah. tajuk yang ingin saya terangkan juga ialah redha dan syukur. mungkin dengan cara ini, saya mahu mengajak mereka yang berjaya mahupun tidak berjaya di dunia sama-sama bersyukur kepada Allah.

Sebelum saya meneruskan penulisan saya, ingin saya kongsikan berita. Alhamdulillah, saya sudah selesai untuk sem 1. Saya telah berjaya memperolehi 3.75/4.00. Alhamdulillah, segala-galanya daripada Allah. Namun saya berfikir, adakah saya ini golongan yang bersyukur? Allahu akbar. Hal ini menakutkan saya. Tahukah anda bahawa dunia menyaksikan ramai yang kufur nikmat. Dan tahukah anda Allah ada menjelaskan dalam al-Quran dalam Surah al-Mulk:

[23. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Allah Yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".]

Moga kita tidak tergolong sebagaimana yang disebutkan. Redha menurut kefahaman saya, bermaksud kita menerima apa sahaja pemberian Allah. Namun dalam kalangan manusia terdapat mereka yang sukar untuk menerima apa yang dikurniakan. Namun, bukanlah maksud saya disini untuk menghukum sesiapa. Siapalah saya yang naif ini. untuk menghukum. Saya juga belum jamin terhadap diri saya samaada saya ini golongan bersyukur atau tidak. Walaubagaimanapun, tujuan saya berkongsi di sini kerana saya tanggungjawab saya untuk berkongsi pandangan selagi mana saya merasakan ia tidak melanggar batas agama.

Sebagai manusia biasa, menerima sesuatu yang kita tidak suka itu amat sukar. Namun hakikat kehidupan yang telah Allah tetapkan, inilah dan itulah yang terbaik untuk kita. Saya tidak mahu memanjangkan penulisan saya. Cukup sampai disini. Saya akhiri dengan ayat al-Quran di bawah Surah Al-Baqarah ayat 216

[216. kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.]

 

 

 

 

 

Saturday, 15 June 2013

Tersungkur Bukan Untuk Selamanya


Assalamualaikum kepada sidang pembaca. Sudah lama rasanya saya tidak berkongsi sesuatu yang mampu untuk mengingatkan kepada sahabat walaupun sedikit. Saya berasa teruja untuk berkongsi kepada semua untuk perkongsian kali ini. Tersungkur. Jatuh. Terjunam. Hahaha. Jika anda perasaan, ketiga-tiga perkataan tersebut sememangnya negatif. Tapi bukan saya mengajak anda untuk terus berada dalam kecewa apabila situasi tersebut kita relatifkan dalam kehidupan. Namun apa yang saya mahu tujukan ialah kita tidak boleh lari daripada berada di bawah. Jika sesiapa yang pernah mendengar lirik ini, boleh menyanyi, namun mana yang tidak tahu baca sahaja ye.

[kiasan hidup ibarat roda, kekadang, di atas di bawah di atas semula.]

Sesiapa yang tahu, pasti menikmati irama lagu ini. Tapi bukan itu yang saya mahu fahamkan. Saya sering tersungkur. Kin juga saya tersungkur. Perit rasanya. Hampir setiap malam saya menangis. Menangis? Ye ia cara terbaik. Saya rasa puas. Maafkan saya. Tapi bukan bermakna menangis kerana penyesalan, namun kita muhasabah kembali diri kita. Adakah kita selama mensyukuri segala pemberian yang Allah kurniakan. Ya Allah ampuni kami. Ujian yang Allah berikan kadang-kadang betul-betul menguji keimanan kita sebagai seorang hamba yang naif. Tetapi ingatkah kita akan firman Allah dalam surah Albaqarah ayat terakhir yang bermaksud:

[286. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".]

P/S: Mungkin sebahagian yang membaca post saya kali ini mungkin akan kurang faham, maafkan saya, emosi saya kurang baik.

 

 

 

Tuesday, 28 May 2013

Malas Yang Menyeksakan.


Alhamdulillah, proses tarbiyah masih diteruskan. Masih berjuang untuk berkongsi sesuatu yang boleh menjadi bahan refleksi diri. Tidak semua manusia yang sempurna. Itu yang nyata. Begitu juga saya. Saya juga banyak kekurangan. Dalam merentasi proses tarbiyah ini, ada suatu penyakit yang sukar untuk saya buang. Malah penyakit ini juga melambatkan proses perubahan diri saya serta istiqamah dengan amalan saya. Anda tahu apa? Ya, itulah penyakit malas. Kadang-kadang penyakit itu tidak pernah saya jemput hadir ke dalam diri saya. Ia menjelma secara tiba-tiba tanpa diundang. Saya tidak mahu!!! Ya Allah bantulah hambamu untuk terus berada dalam jalan tarbiyah ini. Kuatkan aku. Begitu juga semua yang sudi baca. Namun, saya yakin, para pembaca sememangnya rajin untuk membaca. Mari lafaz Alhamdulillah. Teringat saya akan doa yang menjadi amalan nabi yang dikumpulkan oleh imam syahid hassan al-banna dalam al-ma’thurat  yang bermaksud:

[ ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari rasa susah dan sedih, aku berlindung kepadamu dari rasa lemah dan malas, aku berlindung kepadamu dari sifat pengecut dan kikir, dan aku berlindung kepadamu  dari dililit hutang dan tekanan oran lain.]

Hebat bukan doa nabi ini. Alhamdulillah, saya mampu untuk amalkan mathurat pada pagi hari, sejujurnya ada juga masa tinggal membacanya. Sukarnya mendidik hati. Hanya allah yang tahu. Sebenarnya saat cuba melawan nafsu, dan berjaya mengalahnya, untuk saya itulah kemenangan yang nyata. Saya gembira. Malah saya rasa hati ini saat lapang. Kadang-kadang saya sedar, saat saya mengikut nafsu, itulah yang paling menyeksakan. Terasa diri ini tidak langsung menghayati hadis nabi yang saya kongsikan minggu lalu berkaitan masa lapang. Moga sama-sama saya dan awak semua bermuhasabah.
(Karya Musim Exam)

Tuesday, 14 May 2013

Sedih Yang Manis.


Sedih? tidak pernah diminta.

Alhamdulillah, tulisan saya ke-7.  Sengaja saya fokuskan keberapakali post saya. Hanya sekadar untuk melihat perkembangan penulisan saya. Harap semua selesa. Ketahuilah ketika saya menulis  coretan ini, hanya beberapa minit lagi waktu asar akan masuk. Jadi mungkin saya akan mempercepatkan penulisan ini, namun mampu memberi manfaat. Sebagaimana kata-kata hukama yang saya tidak pasti sumbernya:

[ sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat untuk orang lain]

Semoga kita tergolong dalam golongan tersebut. Amin. Berkaitan tajuk. Rasa sedih? Saya mahu memastikan bahawa semua di sini (para pembaca) pernah merasai sedih bukan? Dan saya juga yakin bahawa tidak pernah juga kita meminta rasa sedih ini datang. Sebelum pergi jauh, saya juga mahu menekankan jenis sedih yang maksudkan adalah ketika datangnya musibah. Lupakan sebentar berkaitan kesedihan dalam kebahagian. Tidak semua manusia akan kuat ketika ditimpa musibah. Begitu juga saya. Sejujurnya suatu sifat yang tidak baik untuk diri saya ialah cepat merasa sedih saat musibah melanda diri. Tujuan saya berkata tentang diri bukanlah untuk membuka keburukan diri sendiri, tetapi untuk kita sama-sama refleksi diri. Penting bukan untuk kita saling mengingati? Saya sangat perlukan sahabat di sisi saat keluarga berada jauh di mata. Saya juga perlukan seorang murabbi yang mampu memberi panduan kepada saya. Alhamdulillah, saya dapat semua itu dan akhirnya menghasilkan senyuman di bibir saya. Terima kasih. Namun, saya sedar sesuatu, ujian yang dirasai saya tidaklah sehebat mana. Allahu akbar. Ketahuilah juga bahawa penulisan saya ini mahu ajak semua pembaca mengenang nasib saudara di Palestine, Syria dan beberapa lagi negara Islam yang besar. Allahu akbar. Besarnya ujian mereka.

Suatu yang saya pasti, mereka tidak pernah menyalahi Allah. Anda mesti tahu kenapa. Semestinya kerana iman di dada mereka. Pernah terfikirkah anda jika yang berada di tempat mereka. Jika saya, saya sudah tahu apa yang saya akan rasakan. Teringat saya akan firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 155 yang bermaksud:

[ 155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: ]

Tersentap bukan dengan ayat ini. Saya pernah dengar tafsiran ayat ketika Dr Danial Zainal Abidin yang terkenal dengan ilmu sains dan al-quran menerangkan ayat ini. Saya tidak akan mentafsirkan sesuka hati. bahawasanya ujian Allah itu pelbagai bentuk. saya pasti untuk di Malaysia, masih belum rakyatnya mengalami kelaparan. Jika ada sila beritahu saya (jika mahu). Tiada bukan. Namun bagaimana pula dua negara yang pada akhir-akhir ini diuji Allah dengan ujian yang amat berat. Antaranya kehilangan yang pasti, kelaparan yang nyata, kesengsaraan yang pedih. Pasti kita tidak pernah merasai. Saya mahu ajak semua berfikir sebentar. Adakah aku orang yang bersyukur ya Tuhan? Tepuk dada, tanya iman masing-masing ye. Terima kasih.